GURU hari ini sudah boleh dipertikai. Semua orang makin berani memarahi, mencela dan apa sahaja yang berbentuk negatif kepada guru. Kisah orang lama, zaman dahulu, orang kampung, ketua kampung, Tok Batin sangat hormatkan guru. Kata-kata guru tidak boleh dipertikaikan. Mereka diangkat seperti ulama zaman dahulu. Itu kisah dahulu.
Kisah selepas 50 tahun, sudah berubah. Tidak hairan, ibu bapa sekarang suka bawa guru ke mahkamah, saman sana situ. Anak-anak mereka sudah mula pandai melawan guru, jika diambil tindakan disiplin, guru juga yang kena. Sebab itu, pelajar sekarang sudah bongkak. Mereka tidak takut sebab ibu bapa inilah yang pertahankan mereka. Sikap dan perbuatan 'camne' pun, guru tetap bersalah merotan, memperli anak mereka. Ditambah lagi dengan tekanan Kementerian Pelajaran yang mengeluarkan kod disiplin, maka minyak pelajar sudah ditahap mendidih.
Ini boleh kita simpulkan dari sikap segelintir ibu bapa yang masih tidak menghormati profesion guru, sedangkan guru bukan dibayar gaji untuk perkhidmatan, malah dibayar untuk melaburkan anak mereka supaya menjadi anak yang terbaik sesuai dengan kempen modal insan. Jika pihak di atas pun mengikut telunjuk ibu bapa ini, maka tiadalah tempat guru mengadu. Sudahlah dibebankan dengan pelbagai tugas sehingga melebihi had yang ditetapkan ILO.
Sikap negatif terhadap guru ini kita dapat lihat di dada akhbar, orang sudah pandai memperlekehkan guru, mempertikaikan hak guru. Yang penting bagi mereka, anak mereka sahaja. Cukuplah ibu bapa yang membebankan emosi, perasaan guru, jangan pula pihak yang sepatutnya melindungi guru, turut sama mendendangkan irama yang nampak 'busuk'.
Jika makin ramai bersikap demikian, suruh anak anda belajar dengan anda dan jangan hantar ke sekolah.
Posted at 07:41 pm by techno_daie