ZAMAN dahulu, jika pelajar dirotan sekali di sekolah, maka ibu bapa akan menambah lagi di rumah tetapi zaman sekarang pelajar kena rotan maka ibu bapa akan menyaman guru. Itulah situasi sukar yang perlu ditempuh oleh guru. Tidak hairan, zaman dahulu tidak kedengaran pelajar melawan guru, pelajar jadi gangster, jenayah sekolah meningkat hatta gejala sosial remaja di luar sekolah hampir tidak kedengaran.
Zaman sekarang, sejak ibu bapa suka saman-menyaman, pelajar mula sudah mula besar kepala, tidak hormatkan guru, banyak masalah disiplin sekolah timbul. Akhirnya yang menjadi mangsa, guru dikatakan tidak mendidik anak mereka. Tidak ingatkah anda semua peristiwa terbaru yang menimpa guru dari semenanjung terbunuh di Kapit akibat perbuatan khianat. Adakah guru tersebut datang ke Kapit untuk berseronok atau ingin melihat anak bangsa berjaya? Sebaliknya, ketua guru-guru pula yang mempersoalkan dosa pahala guru-guru jika anak bangsa tidak dapat menguasai 2M. Suruh ketua guru tersebut pergi pendalaman dan merasai apa yang ada sekarang. SELAMAT HARI GURU!
DATANGmu membawa cahaya seluruh alam, Pergimu mengundang pasrah, Kami sentiasa merindui bimbingan dan tauladan, Moga syafaat terus berkekalan.
Esok, umat Islam seluruh dunia menyambut kelahiran Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam. Sudah melebihi 1400 tahun, junjungan besar wafat. Setiap tika, masa, tempat dan waktu, umat islam yang sentiasa menyayangi dan mencintai Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam tidak lupa mengingati, bercerita kisah baginda serta mengajak manusia mencintai makhluk yang dicintai oleh Allah. Bukan seperti kita, jarang sekali ingat Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, hanya ketika Maulidur Rasul ini sahaja. Itupun, digazetkan oleh kerajaan, jika tidak, Akademi Fantasia menjadi sebutan. Tidak hairan, orang sekarang boleh mencela Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam. lebih teruk, orang Islam yang rakyat Malaysia di mana pemimpin menjadi Pengerusi OIC, tidak sunyi dari mengutuk Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam mahupun isteri atau sahabat.
Saya tidak mahu bercerita apa yang ada disebalik Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, cukup banyak ceramah, kuliah di sekeliling kita yang wajib dihadiri daripada kita lepak, menonton tv atau merembang di tengah malam. Jika benar kita orang Islam, sayangkan nabi, tahu erti pengorbanan nabi menentang kafir quraish, maka tidak akan ada kebejatan sosial yang melanda.
Bagi kita yang menyambut Maulid Rasul esok, jangan puas sebagai penganjur, peserta perarakan, menang perarakan, tetapi ambil kisah Abu Lahab yang pernah satu ketika terlalu gembira menyambut kelahiran Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, tetapi akhirnya, Allah gambarkan di dalam Surah Al Lahab seksaan manusia yang paling gembira menyambut Nabi Muhammad.
ADA yang menarik untuk dikongsi bersama anda. Isu Kementerian Pelajaran berkaitan guru, disiplin pelajar, PIBG, masalah 'guru' menganggur benar-benar menguji kecekapan menteri, timbalan menteri sehingga pegawai. Hatta, dimasukkan pegawai tadbir dan diplomatik yang diura-urakan, masalah terus berpanjangan. Segala tindak tanduk seperti tergesa-gesa. Mungkin pening pegawai kanan pelajaran disebabkan arahan yang bertubi-tubi. Sebab itu agaknya, Dato Menteri Pelajaran mahu tarik PTD dalam pentadbirannya. Kita lihat sahaja.
Kata dua - pergi atau berhenti - yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Omar kepada guru-guru yang ingkar mengajar di pedalaman baru-baru ini agak menarik.
Tentu ada sebab-musabab yang mendorong timbalan menteri itu menyatakan pendirian keras kementeriannya. Keengganan guru bertukar ke pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bukan cerita baru. Menteri dan timbalan menteri pelajaran silih berganti. Malah sudah banyak Menteri Pelajaran yang menjadi Perdana Menteri dan timbalannya.
Namun, masalah keengganan bertukar ke pedalaman tetap berlaku saban tahun.
Kebelakangan ini ke Johor Baharupun ada yang mengeluh. Letihlah kementerian memujuk dan menjaga hati para guru berkenaan sehingga disediakan habuan untuk mereka yang bersedia mendidik anak bangsa di hujung-hujung desa dan pelbagai ceruk.
Pun, masih ada yang ingkar! Akhirnya Dato’ Noh naik angin. Siapapun memegang jawatan itu akan turut naik angin. Inilah yang dikatakan menarik untuk dianalisis.
Semua bakal calon amat maklum bahawa mereka akan diperlukan berkhidmat di pedalaman. Semasa ditemudugapun telah dinyatakan dan ditanyakan tentang kesanggupan masing-masing.
Seperti kakitangan perkhidmatan awam yang lain, guru-guru juga tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan yang antara lain dipersetujui bahawa tindakan disiplin boleh dikenakan jika mereka mengingkari sebarang peraturan.
Jika syarat-syarat perkhidmatan ini dikuatkuasakan sepenuhnya, Dato’ Noh atau sesiapa sekalipun, tidak lagi perlu memberikan kata dua kerana syarat-syarat perkhidmatan itu sendiri sudah meliputi kata dua berkenaan.
Jadi, jangan tuding jari pada guru yang enggan ke pedalaman! Kementerian harus membuat muhasabah diri – adakah ia sudah menguatkuasakan peraturan yang sedia ada atau sebaliknya.
Kenapa kementerian-kementerian lain tidak menghadapi masalah seperti masalah perguruan? Pegawai dan anggota polis serta tentera juga ditukarkan ke Sabah dan Sarawak. Ada pula di kalangan mereka yang terpaksa berkhidmat di pulau-pulau tertentu.
Walaupun terlalu berat untuk meninggalkan anak isteri, mereka tetap patuh kepada arahan dan peraturan yang termaktub. Banyak juga yang terpaksa bertugas di luar negara sebagai pasukan pengaman di bawah bendera Pertubuhan Bangsa Bersatu. Nama baik negara dan pasukan harus diberi keutamaan.
Begitu jugalah sepatutnya para guru, mereka wajib mengutamakan kepentingan negara dan anak bangsa. Kebanggaan para guru hendaklah terhadap kejayaan menukarkan pelajar-pelajar tercicir, lembab dan lemah menjadi pelajar yang berjaya, cemerlang dan berpotensi untuk terus maju.
Pelajar-pelajar sedemikian hanya ada di kalangan mereka di luar bandar dan pedalaman yang sangat hauskan pendidikan bermutu daripada guru-guru berpendidikan tinggi dan terlatih.
Di Malaysia, masalah ini memang rumit. Memang guru-guru mahu memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar di luar bandar, tetapi anak-anak mereka sendiri, bagaimana? Majoriti guru adalah perempuan. Apabila sudah berumahtangga, masalah mulai timbul.
Suami bekerja di bandar. Mahu bertukar ke kawasan berhampiran tempat isteri ditukarkan, tiada pejabatpun di sana. Apakah pilihan yang ada? Anak pula bagaimana – nak ditinggalkan bersama suami atau dibawa ke sekolah?
Memang guru-guru perempuan akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Jalan keluar ialah jumpa wakil-wakil rakyat minta sokongnan supaya tidak dipindahkan. Itu jalan keluar para guru, kementerian pula bagaimana?
Beranikah kementerian membuat perubahan iaitu membetulkan kembali nisbah atau peratusan guru lelaki dan perempuan? Pelik juga kenapa terlalu sedikit guru lelaki sekarang ini. Adakah calon-calon lelaki tidak menepati keperluan sehinggakan terlalu banyak perempuan yang diterima.
Mungkin kelulusan calon-calon perempuan lebih baik daripada calon-calon lelaki. Mungkin juga sifat-sifat kewanitaan lebih sesuai untuk perguruan. Apalah guna mengambil calon yang cemerlang akademiknya tetapi tidak mahu atau tidak dapat bertugas di pedalaman. Lebih baiklah diambil calon lelaki yang sederhana tetapi boleh ditugaskan di ceruk mana sekalipun.
Jika terdesak, mungkin juga kementerian boleh mengambil jalan lain iaitu menggilirkan setiap guru berkhidmat di pedalaman untuk tempuh tertentu umpamanya dua atau tiga tahun. Kaedah ini mungkin lebih adil kerana kini, ada guru yang dari mula hingga bersara, tidak pernah ke luar bandarpun, - jauh sekali ke pedalaman.
Dalam konteks muhasabah, elok juga kementerian menilai kembali kurikulum pendidikan gurunya. Kaji semula adakah telah diterapkan secukupnya kesedaran tentang betapa pentingnya ke luar bandar dan pedalaman. Kenapa ada guru yang ingkar ke pedalaman – mungkin masalah disiplin. Jika guru tidak berdisiplin bagaimanakah mahu mendisiplinkan pelajar?
Dalam pada itu, kemudahan seperti rumah guru dan pengangkutan serta kemudahan-kedmudahan lain harus juga disediakan. Bayangkan jika mengajar di bandar, seseorang guru memandu Proton Perdana, apabila ke pedalaman terpaksa naik rakit pula.
Jika sedemikian halnya, Dato’ Noh atau Dato’ Hishamuddin sendiripun tidak sanggup ke pedalaman.Apa sekalipun senarionya, Kementerian Pelajaran harus berani membuat perubahan, bukan sekadar memberi kata dua sahaja
EL NINO yang diramalkan melanda Malaysia kini meleset. Sebaliknya panas yang melanda Malaysia bukannya datang dari cuaca, tetapi situasi orang di bumi Malaysia. Akhir ini, panas semakin memuncak, ditambah dengan bahang pilihanraya, maka inilah sebenarnya EL Nino yang melanda Malaysia.
Dahulu suasana Malaysia tidak riuh, tidak bahaya, tetap tenang. Orang besar-besar mengambil berat hal masyarakat, tidak difikirkan diri sendiri. Tiada perbezaan politik, tiada istilah perpecahan, hatta sesama rakan politik hormat-menghormati.
Orang dahulu bekerja bersama-sama, bukan bekerja untuk apa-apa, tiada masalah kakitangan bawahan. Karenah birokrasi mungkin ada, tetapi semua pihak berlapang dada. Tiada istilah tuduh-menuduh, ketua menindas yang dibawah, sogokan besar-besaran dan apa sekalipun benda yang difikirkan tidak baik. Bahang panas itu, kini melanda Malaysia.
Projek, agihan sudah ada yang punya. Ada jawatan mula fikirkan mahu hasil yang dilakukan. Jika dahulu fikirkan rakyat, sekarang mula fikirkan anak-anak, kawan-kawan. Rakyat sudah mula dirasakan tidak penting. Percaturan mesti dilakukan segera. Akibatnya, pelbagai berita sensasi menguasai minda rakyat. Pembunuhan, sogokan, rasuah, gaduh dan apa sahaja cerita negatif.
Hari ini, tidak seperti dahulu dan zaman moyang kita. Gahnya pemimpin sudah tidak berseri seperti juga penjawat awam. Banyak kes sudah dibongkarkan. Orang sudah tidak yakin bila pelindung mereka dihadapkan lembaga tatatertib, mahkamah. Harapkan pagar, pagar makan duit! Apa lagi yang boleh Pak Lah harapkan, jika semua tidak mengikut apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Lahirkan modal insan, perangi rasuah, Islam Hadhari hanya tinggal metod semata-mata. Hari ini semua sudah hanyut dengan kebendaan dunia, kemewahan zahiriah, fikiran berpusat kepada kesenangan. Tiada lagi istilah pengorbanan, keikhlasan demi mempertahankan Malaysia dari dicemari rasuah. Mungkin ini yang dikatakan hasil setelah menuai beberapa tahun!
DAHULU suasana mahasiswa Mesir tenang. Bertegur sapa sesama rakan berlainan negeri. Semua berkumpul dan tinggal dalam satu bumbung. Tiada perbezaan negeri, tiada istilah perpecahan, semua bersatu tanpa ada pertikaian. Tiada yang mendabik dada negeri dia yang hebat, semua ingin perkasakan gahnya PMRAM.
Mahasiswa dahulu sering berkumpul untuk membuat program, tiada masalah kekurangan tenaga. Pemusatan yang padu dan kerjasama yang tidak terbatas meringankan rakan yang lain. Tiada istilah penat, tiada pertembungan program dan tiada siapa yang tidak turut serta. Kenduri dibuat secara besar-besaran, rakan negeri lain dijemput sama, bagaikan satu keluarga besar yang utuh dibawah 'datuk' PMRAM. Bila sesuatu aktiviti atau program anjuran PMRAM, ada yang tidak membatalkan hasrat ingin berehlah. Ada yang sudah merancang awal bersama rakan ingin menikmati cuti, membatalkan hasrat demi PMRAM. Jika sudah nekad, akan cuba lewatkan permusafiran tersebut. Tidak perlu tergesa-gesa kerana punyai banyak waktu.
Mereka yang ingin mendalami ilmu, sudah menyediakan jadual yang seimbang antara persatuan dan ilmu. Tiada pada fikiran mereka persatuan membebankan, tidak mahu masuk persatuan. Tiada wujud persatuan lain, semuanya terus bersatu dan tiada yang sukakan perpecahan. Tapi, yang pasti, detik itu bukan hari ini.
Program sudah kurang orang. Ahli sudah mula fikirkan mahu banyakkan persatuan. Yang dahulu pernah bersama, sudah mula menjauhkan dan semakin membenci bahkan menfitnah. Aktiviti sudah mula dirasakan tidak penting. Ahli sudah mula tidak membahagikan masa mereka. Yang sudah menubuhkan persatuan lain, semakin ingin menguatkan gerakan mereka. Sedangkan yang ada inilah satu-satunya suara yang ada. Suara yang pernah bergema dan bersatu dalam memperjuangkan Islam terutama di Malaysia. Kaum Muda yang pernah mendominasi peranan ketika awal kemerdekaan adalah lahir dari PMRAM.
Yang inginkan kebebasan dan kesenangan, akan cuba mencari mana yang sesuai dengan jiwa mereka, tidak perlu bersusah payah masuk program, leceh sebab duduk bersila. Ada disiplin yang menjaga dan tiada ruang untuk bergerak bebas. Tarbiah sudah dilupakan. Ahli sudah letih menjadi jawatankuasa penganjur program. Yang terus menghilangkan diri, tiada perkhabaran didengari.
Hari ini, tidak seperti dahulu dan zaman moyang kita dahulu. Gahnya pelajar Al Azhar sudah tidak berseri sepertimana mereka meninggalkan PMRAM perlahan-lahan. Dahulu mereka hebat dalam ilmu, hebat dalam gerakan mahasiswa PMRAM. Hari ini semua sudah hanyut dengan kebendaan dunia, kemewahan zahiriah, fikiran berpusat kepada kesenangan. Tiada lagi istilah perjuangan mahasiswa, mempertahankan institusi mahasiswa dari dicemari pemikiran politik. Hebat bukan mahasiswa sekarang!
Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr telah kembali ke rahmatullah dalam usia 92 tahun. Beliau yang merupakan seorang tokoh yang begitu mahir di dalam bidang feqh adalah merupakan seorang ulama yang cukup bersederhana dalam ucapan, pandangan dan kehidupan hariannya telah menyebabkan orang ramai cukup menyenanginya.
Antara karangan beliau yang terlalu
tinggi nilainya ialah:
الدعوة
الإسلامية دعوة عالمية
الدين
العالمي ومنهج الدعوة إليه
موسوعة
الأسرة تحت رعاية الإسلام (6 مجلدات)
سوأل
وجواب للمرأة المسلمة
أحسن
الكلام في الفتاوى والأحكام (7 مجلدات)
Pemergian Almarhum sangat dirasai oleh setiap umat
Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Almarhum kembali ke
rahmatullah pada pagi 18 Zulkaedah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah
beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara
yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan
auliya' al-solihin.
* Ini merupakan salah satu tugasan di Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS) yang perlu dibuat. Hanya sebahagian dapat dipaparkan. Harap maklum.
1)Kemestian menjadikan Allah Taala sebagai tuhan dengan mengEsakanNya serta mengikhlaskan ibadah kepadaNya tanpa syirik dengan tuhan-tuhan lain atau dalam erti kata lain mentauhidkanNya secara Rububiyyah dan Uluhiyyah.
Firman AllahTaala
وهو الذي فى السماء اله وفى الأرض اله وهو الحكيم العليم
2)Menjadikan Allah Taala sebagai tumpuan dan matlamat pengabdian. Dalam ertikata lain, kita mengaku dalam kalimah syahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Taala sahaja. Allah sahaja tempat tumpuan pengabdian kita dan tiada yang lain darinya.
Penyembahan dan pengabdian ini dilaksanakan dengan melaksanakan ibadah kepada Allah. Perkataan ibadah ini perlu kepada penjelasan supaya tidak disalah tafsirkan pengertiannnya. Akibat proses sekularisasi, perkataan ibadah ini telah dikhususkan kepada satu jangkauan ruang yang sempit dalam penggunaan umum. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah dilakukan pada setiap masa dan tempat meliputi dan meresapi setiap aspek dan ruang lingkup hidup insaniah
Firman Allah Taala:
ان الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأمولهم بأن لهم الجنة يقاتلون فى سبيل الله فيقتلون و يقتلون
3).Menuntut supaya menjadikan Allah sebagai tempat perlindungan. Fikiran yang waras sudah sedia meyakini kenyataan ini bahawa Allah Taala sahajalah tempat berlindung secara mutlak. Tiada siapa pun mampu memberi perlindungan terhadap qudrat dan iradatNya. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana-mana jua makhluk adalah bersifat dan bergantung kepada keizinanNya. Maka segala harapan dan permohonan mestilah ditujukan kepada Allah Taala sepenuhnya sebagaimana tiada tempat tawakal dan berserah kecuali kepadaNya sahaja. Tidak ada kekuatan dan daya gerak melainkan dengan kekuatan Allah Taala.
4).Menjadikan Allah sebagai tumpuan kecintaaan. Syahadah menuntut seorang muslim supaya mengarahkan segala pandangan dan fikiran serta kecintaan hanya kepada Allah Taala sahaja. Kecintaan ini merupakan kecintaan yang hakiki walaupun sebenarnya zat Allah Taala suatu zat yang tidak dicapai oleh rabaan pacaindera.
Firman Allah Taala:
قل ان كان ءآباؤكم وأبناؤكم واخونكم ....والله لا يهدى القوم الفسقين
Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah terhasil daripada kecintaan kepada Allah, inilah cinta yang hakiki. Adapun cinta-cinta yang lain selain daripadaNya adalah sandaran semata-mata (majazi).
5).Menjadikan Allah sebagai punca penggantungan hidup dan rezeki. jelas dan nyata syahadah menerangkan tentang hakikat ini. Para makhluk adalah sekadar membawa dan menyampaikan sahaja (majazia),bukan sumber yang sebenar.
Firman Allah :
يأيهالناس اذكروا نعمت الله عليكم هل من خلق غير الله يرزقكم من السماء والأ رض لا اله الا هو فأنى تؤفكون
Apa yang dimaksudkan dengan rezeki ialah segala apa yang kita dapati dan perolehi di dalam dunia ini. Sama ada ia berbentuk benda, masa ataupun kemudahan.
Firman Allah:
قل أرءيتم ان أخذا الله سمعكم وأبصركم وختم على قلوبكم من اله غير الله يأتيكم به
Oleh itu memilih jalan yang salah dalam penggantungan hidup dan rezeki adalah satu kesalahan. Maka dalam risalah ini umat Islam mestilah mengambil pengajaran dalam ekonomi Islam dan membuang segala sistem ekonomi ciptaan manusia yang jelas tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi dan kemiskinan manusia. Sistem ekonomi Islam telah membuktikan kejayaannya pada zaman kecemerlangan Islam sedangkan sistem-sistem kapitalis dan sebagainya gagal menyelesaikan masalah ekonomi umat Islam dan kemiskinan hingga ke hari ini.
6).Menjadikan Allah sebagai sumber perundangan yang mutlak tanpa ada campurtangan daripada mana-mana pihak. Sedangkan kita akui sebagai sifat dan hak-hak Allah dalam ucapan kalimah syahadah yang kita ucapkan. Sesiapa yang mengakui adanya hukum yang lebih baik, lebih adil, lebih syumul, atau lebih sempurna daripada hukum Allah atau meyatakan ada hukum yan setanding dengan SyariatNya, maka kufur baginya berpandukan sepakat semua Ulama Islam.
Firman Allah :
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الفسقون
Sabda Rasullullah SAW:
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فان لم يستطع فبلسانه فان لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الايمان
Firman Allah SWT:
ألم ترالى الذين يزعمون أنهم ءامنوا بما أنزل اليك وما أنزل من قبلك يريدون ان يتحاكمون الى الطاغوت وقد أمروا ان يكفروا به ويريد الشيطان أن يضلهم ضللا بعيدا....واذا قيل لهم تعالوا الى ما أنزل الله والى الرسول رأيت المنفقين يصدون عنك صدودا
Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia di dalam kalendar Islam. Pada bulan inilah, seluruh umat Islam dari segenap lapisan masyarakat di serata dunia, diperintahkan untuk melaksanakan ibadah puasa. Seperti firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 183 yang bermaksud: "Hai sekalian orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa."
Puasa di bulan yang kesembilan dalam kalendar Islam ini merupakan satu kewajipan bagi umat Islam, di mana ianya termaktub sebagai salah satu perkara di dalam Rukun Islam yang lima. Bulan Ramadhan ini merupakan penghulu kepada segala bulan, kerana ia dipenuhi dengan pelbagai kurniaan dan kenikmatan yang hanya dapat dikecapi oleh umat Islam yang benar-benar menyelami erti puasa yang sebenar.
Puasa di dalam Islam bukan hanya terbatas kepada kemampuan dan keupayaan untuk tidak makan dan minum sahaja. Puasa adalah latihan untuk menguasai diri secara menyeluruh. Naluri-naluri terhadap makanan dan seks merupakan dasar kehidupan, sedangkan hawa nafsu pula merupakan penggerak utama yang dimiliki oleh manusia. Demi untuk mengejar kedua-dua elemen utama ini, banyak waktu dan tenaga yang telah dicurahkan. Di dalam Islam, apabila naluri-naluri itu diturutkan, maka manusia akan dikuasai oleh hawa nafsu yang menyebabkan tiada bezanya antara manusia dengan haiwan atau bahkan lebih rendah lagi, dan seterusnya dapat mengakibatkan hancurnya tatasusila kehidupan yang normal.
Justeru, puasa mencegah penguasaan hawa nafsu terhadap diri umat Islam dan memungkinkan mereka menguasai hawa nafsu sehingga ia terkendali secara total. Puasa tidak menolak naluri makan dan berhubungan seks, melainkan sepanjang bulan Ramadhan sahaja, iaitu sebulan dalam satu tahun, dan hanya dari terbitnya fajar sehinggalah terbenamnya matahari. Dengan cara berpuasa pada bulan Ramadlan, umat Islam akan dapat menguasai dan mengawal hawa nafsu, yang bererti juga menguasai dan mengawal diri mereka. Orang yang berpuasa akan dapat merasai kenikmatan setiap kali tibanya waktu berbuka puasa, kerana ia merupakan satu tanda kemenangan yang simbolik kepada umat Islam.
Selain daripada itu, orang yang berpuasa juga perlu menahan diri dari perbuatan-perbuatan dosa yang dilakukan melalui mata, mulut, telinga, tangan, kaki, dan anggota-anggota tubuh lainnya. Mata perlu dihindarkan dari melihat perkara-perkara maksiat sehingga lupa kepada Allah. Mulut pula ditegah dari membicarakan hal-hal yang tidak berguna, berbohong, memfitnah, menghina, atau sesuatu yang tidak baik. Telinga dihindarkan dari mendengar kata-kata jahat tersebut manakala tangan dan kaki pula hendaklah dijauhkan dari melakukan dosa.
Bulan ini juga membuka peluang untuk umat Islam bertaubat serta memohon keampunan ke atas segala dosa yang telah mereka lakukan. Menurut sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".
Sungguhpun begitu, keampunan dosa ini bergantung kepada sejauh mana mereka menjaga tatatertib yang tertentu seperti melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan dan meninggalkan segala yang diharamkan. Mengikut pendapat para ulama', keampunan dosa tersebut hanya ke atas dosa-dosa kecil, bukan dosa-dosa besar. Hal ini diperjelaskan di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W bersabda "Solat lima waktu, dari Jumaat sehinggalah tiba Jumaat berikutnya, dari Ramadhan sehinggalah Ramadhan berikutnya, adalah penghapus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tersebut, selama dosa-dosa besar ditinggalkan".
Sebilangan umat Islam juga akan berjaga malam pada sepuluh malam Ramadan yang terakhir kerana waktu ini adalah waktu yang sangat diberkati. Mereka yang beribadah pada malam-malam ini dijanjikan keampunan Tuhan dari segala dosa, dikurniakan pahala yang berlipat ganda serta dirahmati olehNya.
Salah satu malam daripada malam-malam kesepuluh terakhir ini juga merupakan malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam suci yang hanya dapat ditemui oleh mereka yang terpilih sahaja.
Malam Lailatul Qadar yang cukup misteri ini tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir kepada Allah, atau orang yang berusaha mendapatkan malam mulia itu sahaja yang berkemungkinan untuk menemuinya. Mereka yang dikurniakan Allah akan malam Lailatul Qadar akan memperolehi keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, serta mendapat keredaan Allah dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
HARI ini umat Islam seluruh dunia menyambut Israk dan Mikraj. Di Malaysia, tidak semua negeri bercuti. Setahu saya negeri saya bercuti sempena Israk dan Mikraj tetapi bukan kerana perkahwinan Siti Nurhaliza!
Orang di Malaysia rasanya lebih tertunggu akan peristiwa yang dikatakan 'wedding of the year' berbanding memperingati hari di mana Allah mengangkat darjat Nabi Muhamad SAW ke langit dan dibersihkan jasad baginda. Satu peristiwa yang amat besar dan mulianya Nabi Muhamad SAW. Kita banyak sudah mengetahui akan peristiwa tersebut yang berlaku selepas Nabi Muhamad SAW kehilangan dua insan yang amat bermakna iaitu Siti Khatijah dan bapa saudaranya, Abi Talib.
Kita di Malaysia bersedih Siti berkahwin dengan Dato Khalid. Hatta pelbagai jenis cerita didengari oleh halwa telinga bermula selepas pengumuman hubungan mereka berdua. Semoga mereka berbahagia dan menjadi contoh yang baik.
Berbalik kepada cerita Israk dan Mikraj tadi, Allah telah berfirman yang bermaksud: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)
Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.
Israk dan Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa.
Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.
Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad SAW) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatan (Muhammad SAW) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." - (Surah an-Najm, ayat 13-18).
Israk dan Mikraj juga memperlihatkan kepada kita ketegasan dan keberanian Rasulullah dalam menyatakan kebenaran. Diriwayatkan bahawa pada malam berlakunya peristiwa bersejarah itu, Rasulullah tidur di rumah sepupu Baginda, Ummu Hani' dan pulang pada malam yang sama.
Setelah pulang daripada pengembaraan yang luar biasa itu, Baginda menceritakan apa yang dialaminya kepada Ummu Hani'. Kemudian Baginda bergegas mahu ke Masjid Al-Haram. Ummu Hani' cuba menahannya sambil memegang baju Baginda. Dia berkata: "Aku takut kaummu akan mendustakanmu jika engkau ceritakan kepada mereka!"
Baginda menjawab dengan tegas: "Sekalipun mereka mendustakan, pasti akan kuceritakan juga."
Baginda terus keluar meninggalkan Ummu Hani' sendirian melayan kerisauannya. Memang tepat apa yang dijangka oleh Ummu Hani'. Cerita yang amat luar biasa itu disambut dengan pelbagai reaksi negatif hingga ada kalangan mereka yang beriman, berpaling tadah.
Namun semua itu tidak melemahkan Baginda dan tidak mematahkan semangat Rasulullah dalam memperkatakan kebenaran yang diyakininya. Inilah teladan yang wajib dicontohi umatnya yang saban tahun tidak pernah lupa mengenang dan mengadakan sambutan Israk dan Mikraj. Umat Islam mesti berani menyatakan kebenaran tanpa mengambil kira penerimaan manusia.
Peristiwa ini juga menunjukkan Rasulullah tidak menjadikan mukjizat besar ini sebagai sandaran supaya manusia membenarkan risalahnya, meskipun mereka selalu meminta ditunjukkan kepada keajaiban tertentu. Dengan itu nanti mereka akan percaya kepadanya.
Sesungguhnya agama yang dibawa oleh Rasulullah tidak bergantung kepada perkara luar biasa untuk menarik manusia supaya menganutinya. Islam adalah agama yang benar, sejajar dengan fitrah serta mampu memenuhi segala keperluannya.
Ketegasan Baginda menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj kepada kaumnya bukan untuk menjadikannya sebagai sandaran supaya mereka beriman, tetapi hanya untuk menyampaikan suatu kebenaran yang diyakininya benar.
Kini menjelang 27 Rejab 1425, Masjid Al-Aqsa yang menjadi persinggahan Israk Rasulullah dan permulaan Mikrajnya serta bumi suci lagi diberkati di sekitarnya terus dicengkam kezaliman dan keganasan musuh.
Inilah masanya bagi umat Islam di seluruh dunia memperteguhkan azam dan meningkatkan usaha ke arah pembebasan bumi suci yang diwariskan kepada Nabi Muhammad ketika Israk dan Mikrajnya.
RAMAI mungkin terkial-kial dengan makna dua perkataan di atas. Lebih-lebih lagi golongan muda dan mereka yang berada di kampung-kampung yang tidak tahu apa yang dibincangkan. Sudahlah bulan-bulan yang lalu, istilah misyar menjadi topik hangat hinggakan ramai yang ingin merngetahui tentang perjalanan Islam di Malaysia. Isu berkaitan Islam secara sensitif dan agresif dapat kita lihat selepas kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari. Bermula dari kempen kerajaan, maka sudah ramai yang berani mengusik, bercakap, memberi pendapat tentang hukum hakam Islam tanpa kita mengkaji asal usul pendidikan agama orang yang bercakap mengenai Islam.
Hatta orang bukan Islam sudah mula pandai berkata syariah, keadilan dalam Islam, hak wanita dalam Islam. Yang malang, mereka yang beragama Islam, seperti menerima sahaja pendapat orang yang sememangnya jahil terhadap hukum, susur galur, kaedah-kaedah, wurud dalam Islam. Maka, orang Islam di Malaysia dimomokkan hingga mereka menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan. Sayugia, terjadinya pesongan pendapat dan lahirnya cubaan liberalisme dan pluralisme dalam Islam. Tugas mufti sudah semakin bertambah. Sepatutnya mereka yang faham Islam dan belajar agama di dalam kerajaan, turut sama membantu membanteras dan jangan hanya mufti sahaja yang menyuarakan tanpa ada kawalan dan tindakan dari pihak berkuasa agama.
Belum selesai masalah yang melanda, mereka yang kebanyakan berada di luar Islam menuntut keadilan di dalam Perkara (Artikel) 11 Perlembagaan Malaysia. Apa yang sudah dilakukan dan perlu dilakukan oleh kerajaan dalam membanteras mereka yang semakin lama berani mempertikaikan agama rasmi Kerajaan Berpelembagaan Malaysia yang didokong oleh Raja-Raja Melayu.
Saya bukanlah yang terbaik. Saya hanya seorang manusia yang inginkan kehidupan yang benar-benar mengetahui bahawa diri ini adalah milik Pencipta yakni Allah. Tidak mahu berlaku angkuh dan sombong serta memperdaya kerana sedar diri ini bukan mempunyai kuasa yang mutlak selama-lamanya. Tidak salah menjadi seorang yang banyak ilmunya. Tetapi amat malang sekiranya tidak beramal dengan apa yang dituntut. Hubungi email via ym: mhilmy3006@yahoo.com